Selalunya kita berbicara tentang Pemerkasaan Wanita. Kali ini, Pemerkasaan Bapa pula.
Kita sering kali memandang remeh kepentingan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan seorang bapa. Sedangkan peranan mereka bukan sekadar sebagai pencari nafkah, tetapi juga sebagai pembimbing, pelindung yang qawwam yang memainkan peranan besar dalam membentuk sebuah keluarga.
Alhamdulillah, program hujung minggu ini telah menghimpunkan seramai 25 pasangan bapa dan anak dalam satu pengalaman yang cukup bermakna.

Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana hubungan dan kerjasama antara bapa dan anak dibina melalui 8 cabaran yang memerlukan komunikasi, kesabaran dan kerja berpasukan.
Paling menarik, para ayah juga perlu memasak bersama anak-anak di tepi sungai. Fuhh, memang layan habis!
Dalam kesibukan kehidupan seharian, kadangkala kita terlupa bahawa hubungan antara ibu bapa dan anak juga perlu dibina melalui masa, pengalaman dan kebersamaan.

Tahniah dan syabas kepada LPPKN Selangor atas penganjuran program kebapaan ini. Moga akan ada lebih banyak siri seperti ini pada masa hadapan.
Semoga nilai-nilai yang ditanam melalui usaha memperkasakan para bapa bersifat qawwam ini dapat melahirkan keluarga yang lebih kukuh, anak-anak yang lebih dekat dengan ibu bapa, dan masa depan yang lebih baik untuk kita semua.

