Paparan Masa dan Tarikh

800 wanita sertai Majlis Khatam Perdana 2024, dekati Al-Quran

April 4, 2024

SHAH ALAM, 4 APRIL: Seramai 800 wanita menyertai Majlis Khatam Perdana 2024 anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

EXCO Pemberdayaan Wanita Anfaal Saari berkata majlis yang memasuki tahun kedua penganjuran disertai kakitangan wanita daripada pelbagai agensi termasuk pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Majlis ini membawa tetamu dan peserta untuk sama-sama bertadarus melengkapkan bacaan ayat suci al-Quran, di mana setiap kumpulan menerima juzuk masing-masing.

“Majlis ini juga merupakan kesinambungan penganjuran khatam al-Quran tahun lalu dan syukur tahun ini kita menerima penyertaan menggalakkan,” katanya.

Majlis penutup disempurnakan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) merangkap isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhammad.

Program itu turut diserikan dengan tazkirah Ramadan disampaikan Ustazah Sharifah Zahidah Syed Nooh dan alunan qasidah yang diketuai Ustazah Nor Ruzana Natiah Jaafar.

Sementara itu, Masdiana berharap majlis seumpamanya dapat diteruskan pada masa hadapan tanpa mengira bulan Ramadan atau bulan lain dalam kalendar Islam.

“Ini merupakan titik permulaan dan kita harap ia dapat diadakan setiap bulan di agensi masing-masing. Apa yang penting, kita mahu al-Quran sentiasa di hati rakyat,” katanya.

https://anfaalsaari.com/wp-content/uploads/2024/02/Logo-white-400x180-01.png
Hubungi
03-55447150
EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 15, Bangunan SSAAS, 40503 Shah Alam, Selangor.