Wanita bukan sekadar kuota, tetapi pemimpin berjiwa rakyat – YB Anfaal
Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 telah dilancarkan secara rasmi hari ini oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, dalam sebuah majlis penuh simbolik di Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya. Selangor.
Majlis Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 telah dilancarkan secara rasmi hari ini oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, dalam sebuah majlis penuh simbolik di Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Tuan Lau Weng San, barisan EXCO Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor. Bertemakan “Ke Arah Mencapai 50 Peratus Perwakilan Wanita”, SIWANIS 2025 terus memperkukuh aspirasi Negeri Selangor dalam mempercepatkan agenda kepimpinan wanita menerusi platform simulasi persidangan yang berprestij dan berimpak tinggi.
Kini memasuki tahun ketiga penganjurannya, SIWANIS diterajui oleh Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor serta dilaksanakan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS), dengan sokongan strategik Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor. Tahun ini, penyertaan diperluas dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) dan EMPOWER, menjadikan penganjuran lebih inklusif dan meluas.
74 Peserta Wanita dari Seluruh Negara.
Seramai 74 peserta wanita berusia 18 hingga 45 tahun dari seluruh Malaysia telah terpilih menyertai dua siri bengkel utama yang memberi fokus kepada pembuatan dasar berlandaskan lensa gender, serta pendedahan mendalam mengenai protokol persidangan Dewan Negeri dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
Daripada jumlah ini, hanya 56 peserta terbaik akan disaring untuk menyertai sesi lanjutan yang merangkumi lawatan lapangan bersama mentor, syarahan khas, sesi simulasi persidangan dan kemuncaknya perbahasan utama Sidang SIWANIS 2025 pada 12 Ogos di Dewan Negeri Selangor.