Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 dalam usaha meningkatkan keupayaan dan sumbangan wanita di negeri itu bagi merealisasikan aspirasi Selangor sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelan tindakan itu yang mempunyai tujuh matlamat utama dirangka demi memperkasakan peranan wanita sebagai pembuat keputusan selain menitikberatkan kesejahteraan golongan itu di Selangor.
“Pada penggal yang lepas, kita melihat dalam kerangka lebih besar supaya keadilan dan hak kepada wanita itu bukan hanya diisi dengan program ataupun aktiviti sekadar untuk memenuhi ruang atau kononnya memberi peluang kepada golongan wanita.
“Sebaliknya kita ingin melihat dengan lurus bagaimana fungsi dan peranan wanita yang lebih terampil dan juga keterlibatan mereka dalam masyarakat yang pada ketika ini komposisi wanita dan lelaki di Selangor adalah hampir sama,” katanya ketika berucap merasmikan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 di sini hari ini.
Antara matlamat yang digariskan menerusi pelan tindakan itu ialah menggalakkan kerangka pembangunan sensitif gender, meningkatkan status sosioekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir, mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita, dan memupuk bakat kreatif, budaya, digitalisasi dan inovasi.