Paparan Masa dan Tarikh

Lindungi kanak-kanak, Selangor cadang anjur kempen pendidikan seksual

September 7, 2024

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri bercadang melancar kempen pendidikan seksual kepada kanak-kanak sebagai langkah pendedahan sekali gus mengelakkan golongan berkenaan menjadi mangsa.

EXCO pembangunan keluarga berkata rancangan itu akan dibincang bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta pejabat pendidikan daerah bagi melihat kesesuaian program termasuk pelaksanaan kempen.

“Bagaimanapun isu pendidikan ini bawah kuasa kerajaan persekutuan. (Cuma) Kita mahu rangka dan dedahkan kanak-kanak dengan isu pendidikan seks. Kita adakan kempen sebab kita perlu guna cara pendedahan sesuai untuk memahamkan mereka.

“Kita tidak mahu mereka teruja untuk tahu perkara tidak wajar. Perkara paling asas mungkin ajar mereka tentang bahagian badan mana boleh disentuh dan apa tindakan kalau mereka tidak selesa disentuh,” kata Anfaal Saari.

Wakil rakyat Taman Templer berkata pihaknya sudah melancarkan kempen keselamatan kanak-kanak dalam kereta dan setakat ini mendapat maklum balas positif apabila kes semakin berkurang.

Berhubung kejadian tular ketika ini melibatkan pemandu bas sekolah, Anfaal meminta orang ramai tidak menganggap kejadian itu sebagai satu kebiasaan walaupun dilakukan ahli keluarga sendiri.

“Apatah lagi dilakukan orang luar. Pemandu kena pastikan keselamatan kanak-kanak bukan hanya sampai ke lokasi tetapi perlu menjaga mereka sepanjang perjalanan. Mereka tidak boleh diganggu dan ini punca terjadinya penyantunan seksual kanak-kanak,” katanya.

Awal pagi semalam, polis menahan pemuda berusia 24 tahun selepas memuatnaik rakaman video penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’ di media sosial.

Hantaran itu mendapat kecaman golongan ibu bapa yang berpendapat kandungan berkenaantidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ mempunyai lebih 600,000 pengikut memuat naik video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar sekolah rendah jelas kelihatan di belakangnya.

Sumber: SelangorKini

https://anfaalsaari.com/wp-content/uploads/2024/02/Logo-white-400x180-01.png
Hubungi
03-55447150
EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 15, Bangunan SSAAS, 40503 Shah Alam, Selangor.