Bila Ujian Mereka Menjadi Ujian Buat Kita

July 17, 2026
Kadang-kadang, Allah mempertemukan kita dengan seseorang bukan untuk melihat kesusahan mereka tetapi untuk menguji sejauh mana kita masih mempunyai rasa peduli.

 

Semalam, saya menziarahi tiga keluarga yang masing-masing sedang melalui ujian hidup yang berbeza.

 

Ketabahan mereka mengajar saya bahawa kekuatan hati hadir dalam pelbagai bentuk.
En. Syukri dan isteri tabah membesarkan anak yang menghidap penyakit buah pinggang kronik. Walaupun diuji, mereka tetap menyambut kami dengan senyuman dan hidangan laksa dengan penuh ikhlas. Benarlah, kadang-kadang insan yang memiliki sedikit itulah yang paling banyak memberi.

 

Di sebalik sebuah keluarga, ada kisah perjuangan yang mengajar kita erti sabar dan tabah menghadapi kehidupan.

Saya turut menziarahi Puan Mira dan keluarga yang pernah mendapat perhatian ramai di media sosial baru-baru ini. Apabila bertemu sendiri, saya melihat lebih daripada sekadar kisah yang tular. Saya melihat sebuah keluarga yang sedang berusaha meneruskan kehidupan dengan penuh tabah. Bagi saya, setiap ujian yang Allah hadirkan kepada seseorang juga merupakan ujian buat kita semua. Adakah kita memilih untuk menghukum atau menghulurkan tangan? Adakah kita sekadar membaca kisah mereka di media sosial atau hadir membawa sedikit harapan dan sokongan? Semoga kita sentiasa memilih untuk menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian kerana sedikit keprihatinan mampu memberi makna yang besar kepada mereka yang sedang diuji.

 

Bertemu En. Mohd Sani, seorang saudara baharu yang kini membina kehidupan di Selayang.
Saya juga menziarahi En. Mohd Sani, seorang mualaf yang baru berpindah ke Selayang. Walaupun bukan pengundi Taman Templer, permohonan bantuannya yang disalurkan melalui Masjid Al Firdaus tetap kami beri perhatian. Kebajikan tidak mengenal sempadan kawasan. Saya turut melihat sendiri keadaan rumah, dapur dan bekalan makanan bagi memastikan keperluan asas beliau benar-benar mencukupi.

 

Alhamdulillah, ketiga-tiga keluarga ini menerima bantuan yang sewajarnya. Semoga Allah SWT melapangkan setiap urusan mereka dan mengurniakan rezeki yang berkat. Mudah-mudahan kita semua sentiasa memilih untuk menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian, bukan sekadar pemerhati.
https://anfaalsaari.com/wp-content/uploads/2025/07/Logo-Anfaal-Saari-08-scaled.jpg
Hubungi
03-61276080 | 03-55447150
wanitakebajikan.selangor@gmail.com
n15tmntempler@gmail.com
Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer, No. 3, Jalan Besar, Taman Selayang Segar, 68100, Batu Caves, Selangor
Platform Rasmi
ANFAAL SAARI