Paparan Masa dan Tarikh

Selangor paling tinggi kes dera seksual kanak-kanak

November 1, 2024

Shah Alam: Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP) yang akan bertindak untuk menyemak, menilai dan menambahbaik undang-undang berkaitan perkhidmatan penjagaan bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Selangor.

JKPPP yang ditubuhkan pada 20 September lalu dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, tumpuan utama jawatankuasa itu dalam tempoh setahun akan datang adalah untuk memperbaiki garis panduan dan peraturan berkenaan penjagaan kanak-kanak.

“Berdasarkan laporan polis terkini, kes penderaan dan penderaan seksual kanak-kanak di Selangor adalah yang tertinggi di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

“Hal ini menunjukkan betapa kritikalnya keperluan untuk menyemak dan menambahbaik sistem perundangan dan garis panduan sedia ada bagi memastikan keselamatan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan bersama Michelle, hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti dan meneliti kelompangan dalam sistem sedia ada serta mencari jalan untuk memperbaikinya.

Katanya, selain aspek keselamatan, garis panduan sedia ada juga akan dikaji dari sudut praktikal untuk menggalakkan lebih ramai pengusaha mendaftarkan pusat mereka dengan agensi kerajaan berkenaan.

“Contohnya, syarat untuk menjalankan operasi di rumah penjuru apabila bilangan kanak-kanak dalam jagaan melebihi empat orang yang akan menaikkan kos operasi, serta proses memohon kebenaran merancang yang melibatkan fi kepakaran.

“Amatlah penting supaya sebarang penambahbaikan yang dicadangkan tidak membebankan pengusaha pusat penjagaan secara tidak wajar tetapi tetap menjamin keselamatan dan kebajikan kanak-kanak,” katanya.

Anfaal berkata, dengan peningkatan penduduk di Selangor kesan dari migrasi, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan dijangka akan meningkat justeru usaha penambahbaikan itu adalah kritikal untuk memastikan kebajikan dan keselamatan golongan paling terdedah terjamin.

“Kerajaan negeri komited untuk melindungi dan memperkukuhkan keselamatan kanak-kanak serta akan terus mengutamakan langkah-langkah yang proaktif dan berpandangan jauh bagi memastikan sistem penjagaan di negeri ini memenuhi piawaian tertinggi,” katanya.

Sumber: Harian Metro

https://anfaalsaari.com/wp-content/uploads/2024/02/Logo-white-400x180-01.png
Hubungi
03-55447150
EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 15, Bangunan SSAAS, 40503 Shah Alam, Selangor.