La’allakum Tattaquun

Saat Maghrib hampir tiba, adik kelima saya Marwah menghubungi saya untuk singgah menghantar sedikit lauk berbuka puasa. Teruja dengan rezeki kiriman ahli keluarga tersayang, spontan saya bertanya ‘Masak apa?’. Jawabnya di whatsapp, “Hint: Munjungan.” Walau pun saya ada 50% darah Jawa, malangnya saya tidak memahami bahasa Jawa. Rupanya ia adalah lauk-pauk Hari Raya yang diberikan kepada jiran dan saudara-mara sebelum menyambut Hari Raya sebagai adab mengunjung (munjung dalam bahasa Jawa).

Sedikit perkongsian berkaitan silang suku dan negeri dalam keluarga saya. Saya berkahwin dengan suami yang separuh Cina. Ibu mertua saya seorang wanita berbangsa Cina yang memeluk Islam apabila berkahwin dengan bapa mertua saya yang berasal dari Negeri Sembilan. Budaya dan adat Negeri Sembilan lebih mencorakkan ibu mertua saya, melalui pergaulannya dengan arwah nenek suami saya.

Lauk munjungan adik saya Marwah dan suaminya Shahrul. Terima kasih 😍

Adik-adik saya berjodoh dengan pasangan masing-masing yang ada dari negeri Kedah, Pahang, Johor dan Singapura. Setiap daripada mereka terdedah dengan budaya tersendiri. Selepas kahwin baru mengenali budaya dan cara berbeza. Kata kuncinya, kenal (ta’aruf).

Itu baru kisah pertemuan dua insan dalam satu bangsa cuma berbeza suku, belum lagi berbeza bangsa dan agama. Apa lagi jika berbeza fahaman politik dan aliran pemikiran. Pastinya unik dan terlalu banyak perbezaan yang dapat dimanfaatkan sebagai kekuatan.

Panduan Hidup Masyarakat Harmoni

Ini dinyatakan dalam ayat ke-13 dalam Surah Al-Hujurat yang menjadi sandaran dan panduan untuk hidup secara harmoni dalam konteks masyarakat, negara mahupun dunia secara global.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Ayat ke-13 Surah Al-Hujurat ini dimulakan dengan seruan Allah kepada ‘umat manusia’ yang bermaksud pesanan ini ditujukan kepada semua manusia tanpa mengira agama. Sedangkan dalam ayat 11 dan 12 sebelumnya dimulakan dengan seruan ‘wahai orang-orang yang beriman’. Ia membawa mesej yang amat jelas bahawa agenda li ta’arafu (saling berkenalan) adalah sebuah agenda universal merentasi agama dan sempadan pemikiran yang sempit.

Pesanan Allah Al-‘Aliim Al-Khabir ini wajar digenggam erat mana-mana pemimpin masyarakat mahupun negara, agar tidak mengangkat hanya satu-satu bangsa sebagai tuan atas bangsa-bangsa lain. Menghalalkan ketuanan bangsa untuk menindas dan menafikan hak bangsa lain walaupun mereka berada dalam kelompok minoriti.

Hak untuk hidup dengan selamat, hak mendapat jaminan keselamatan, hak untuk bekerja dan mandiri ekonomi, hak beragama, hak partisipasi dalam politik dan memilih kepimpinan dan pelbagai lagi. Apatah lagi, ketuanan bangsa digunapakai sekadar alat untuk survival politik dan kekal berkuasa. Konon mahu memperjuangkan hak bangsa tetapi kerja pembodohan akal bangsa terus-menerus dilakukan secara sedar, agar bangsa yang disangka tuan terus merasa terancam dengan bangsa-bangsa lain. “Jangan bagi muka pada mereka! Nanti dipijaknya kita.”

Bahagian awal Surah Al-Hujurat menggariskan beberapa prinsip akhlaq dalam kehidupan bermasyarakat yang mesti dipatuhi. Mendamaikan saudara yang bertengkar, menyemak berita yang datang dari orang fasiq, tidak mencemuh atau merendah-rendahkan orang lain, tidak memanggil dengan gelaran yang tidak disukai, tidak mengumpat dan menjauhi prasangka. Sangat fundamental.

Semua nilai-nilai akhlaq diulang sebagai peringatan untuk menjaga keutuhan masyarakat dari berpecah-belah. Ini kerja ta’dib, pendidikan adab dalam rangka membina satu peradaban. Tanpa adab, rosaklah negara. Apa yang boleh dibanggakan sekiranya ekonomi dan pembangunan material yang gah, tapi gersang dari ruh, etika dan moral?

Allah menegaskan nilai kemuliaan yang teratas adalah mereka yang memiliki taqwa. Nilai-nilai akhlaq tidak dapat dimiliki tanpa taqwa, rasa takut dengan Allah dan bersungguh-sunguh mahu melaksanakan hukum Allah.

La’allakum Tattaqun

Di penghujung Ramadan 1441H ini, mari kita menyemak semula ayat kewajiban berpuasa yang menjadi dalil berpuasa.

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah/2: 183)

Puasa, tujuannya untuk mencapai darjat taqwa. Dan mulia di sisi Allah adalah pada nilai taqwa. Lalu, bagaimana puasa kita?

Adakah kita memisahkan ibadah puasa, yakni menahan diri dari lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga tenggelam matahari, dengan berakhlaq mulia sepanjang hari baik di alam nyata mahupun alam maya? Ramadhan ini menyaksikan netizen menghalalkan maki-hamun bangsa Rohingya, menyebarkan berita palsu tanpa menyemak kebenarannya dan juga ahli politik yang membabikan orang lain hanya kerana dia dahulu dibabikan orang dan bermacam lagi yang tidak selayaknya dilakukan bagi seorang yang berpuasa.

Rugilah mereka yang tidak memahami konsep taqwa sebenar dalam Ramadhan ini. Boleh jadi yang berpuasa itu tampak sempurna sebagai orang yang soleh, tetapi menjadi paling celaka dalam hubungannya dengan manusia lain. 

Akhlaq adalah cerminan iman, disuburkan dengan taqwa. Umpama buah yang baik terhasil dari pokok yang baik yang disubur dengan baja.

Fahamilah; puasa dan berakhlaq mulia adalah dua jalan menuju taqwa.

Moga kita keluar dari madrasah Ramadhan menjadi hamba yang lebih dekat dengan Allah dan dekat juga di hati manusia.

Anfaal Saari
28 Ramadhan 1441H | 20 Mei 2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s