Welcome Anas!

Perjalanan kehamilan anak no 6 ini alhamdulillah agak mudah. Bermula dengan trimester pertama (seperti biasa), saya mengalami rasa mual dan loya. Terasa malas dan tidak bersemangat untuk berjumpa orang, apa lagi untuk mempengerusikan mesyuarat. Apps Ovia Pregnancy yang saya muat turun di smartphone membantu saya memantau timeline kehamilan saya. Saya hanya menghitung masa untuk selesai fasa 12 minggu yang tidak selesa dan serba tidak kena sebelum masuk fasa stabil trimester kedua.

Aplikasi Ovia Pregnancy yang memantau perkembangan bayi dalam kandungan

Buku pink yang saya daftar di Klinik Kesihatan terdekat menjadi dokumen penting yang perlu dijaga dengan baik dalam tempoh 9 bulan ini. Memandangkan saya telah mempunyai 5 orang anak dan umur saya akan mencecah 40 tahun, kehamilan ini dikategorikan berisiko. Awal kehamilan berat saya naik agak mendadak kerana saya kurang minum air masak. Air masak terasa payau dan menyebabkan saya muntah semula. Saya minum air berperisa sama ada coklat atau air limau madu. Apabila jururawat kesihatan memberi peringatan dan saya berasa lebih sihat pada trimester kedua, baru saya kurangkan air manis dan lebih banyak minum air kosong.

Saya makan diet seimbang agar berat badan terkawal. Akhir kehamilan berat saya mencapai 84 kg. Kerja di lapangan dan juga menghadiri mesyuarat-mesyuarat di MPS, saya teruskan seperti biasa. Sehingga kandungan mencapai 36 minggu saya mula mendapat ‘false alarm’ atau ‘braxton hicks contraction’. Macam acah-acah nak bersalin. Sakit kontraksi atau perut yang mengeras tiba-tiba datang. Suspen juga sebab awal lagi. Minggu itu saya agak stress dengan isu perkauman yang panas di tanahair. Maklum lah walaupun memilih untuk tidak stres, berita atau sebaran yang masuk melalui whatsapp terpaksa dibaca dan secara tidak sedar menjemput tekanan yang tidak diundang.

Kenangan menghadiri Townhall Ahli Majlis bersama Menteri Besar Selangor,19 Ogos 2019, Shah Alam Convention Centre

Masuk 37 minggu pergerakan saya terasa sangat berat dan perlahan. Berulang kali saya minta suami saya doakan saya bersalin pada minggu ke 38 sebab tak sanggup rasanya menunggu hingga ‘full term’ (40 minggu). Namun, memandangkan secara keseluruhannya saya dalam keadaan sihat doktor beri ‘extension’ sehingga 40 minggu 7 hari. ‘Oh janganlah overdue huhu..’ bisik saya dalam hati. (Tumbesaran bayi dan kandungan air ketuban yang normal mengikut usia kehamilan). Tetapi kaki kiri saya agak bengkak dan tangan saya terasa kebas. Saya mula kurangkan penglibatan aktiviti di hujung minggu di zon saya dan pada malam hari saya akan letak bantal di bawah kaki agar pengaliran darah lebih baik. Untuk memakai stokin juga perlu bantuan suami dan anak-anak. >_<

28 Ogos, kontraksi acah-acah datang lagi. Tapi saya sempat ke MPS untuk sambutan Hari Kemerdekaan. Dengan perut yang sarat, saya gagahkan kaki memandu dan berdiri di atas pentas dataran MPS di Bandar Baru Selayang itu. Perhimpunan dan sambutan yang mengujakan saya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat MPS. Jalan pun perlahan-lahan masa ni.

Mulai 29 Ogos, suami saya tidak benarkan saya memandu. Nak ke mana-mana pun suami saya yang pandu kereta dan saya putuskan yang saya akan mula off-duty bermula 1 September. Hajat di hati anak ini dapat saya lahirkan pada 31 Ogos 2019. Mana tahu jadi anak merdeka juga.

1 September – tengah malam saya terasa air sejuk mengalir di bawah kaki. Sebelum ini saya tidak pernah ada pengalaman air ketuban pecah sebagai tanda awal bersalin. Saya tunggu lagi tetapi tiada rasa kontraksi berkala dan berterusan.

2 September – Selepas makan malam bersama keluarga, suami saya bawa saya ke Hospital Selayang untuk memeriksa sama ada air yang keluar sedikit-sedikit itu adalah air ketuban atau bukan. Alhamdulillah ia hanya discaj biasa dan bukaan servik saya baru 1cm. Doktor minta saya balik dahulu.

Sebelum ke KLCC

3 September – Saya semakin resah kerana kontraksi acah-acah sahaja. Suami saya mengajak saya menemaninya ke KLCC untuk urusan talian fonnya. “Jalan-jalan jom! Mana tahu cepat sikit buka jalan.” Kami ke pejabat Maxis, solat Zuhur, terus ke Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan berjadual dan jururawat menyatakan kontraksi 5 saat sahaja. Tunggu sehingga kontraksi lebih panjang dan lebih kerap, saya perlu ke hospital. Selesai pemeriksaan kami makan di tempat favorite berdekatan klinik, nasi kukus ayam rempah goreng! Pulang ke rumah dan tiba-tiba sakit perut yang sangat kuat menerpa usai selesai solat Asar berjemaah dengan suami.

Saya tengok jam, kekerapan 10 minit. Saya berdiri di hujung katil dan membongkok menahan sakit. ‘Bang, pergi hospital sekarang.’ Suami saya yang telah lama bersedia menghiburkan saya, “Ok baby! Ready nak jumpa ni!”

Tiba di Hospital Selayang, seperti biasa saya perlu ke ruang pemeriksaan di bahagian depan Dewan Bersalin. Ramainya pesakit yang menunggu giliran untuk bersalin. Di ruang itu sahaja saya kira ada 6 orang. Jika dibandingkan saya dan mereka, wajah mereka masih lagi tenang berbanding saya sudah mula memejam mata kerana menahan sakit yang mulai kerap selang 8 minit.

Doktor pesan jika saya terasa ingin buang air besar, jangan ke tandas. Selang 15 minit selepas pesanan doktor, saya sudah rasa ‘surge’ atau rasa untuk meneran. Jururawat bawa saya ke satu ruang di sudut yang ditutup dengan tabir. Di sebelah katil saya ada seorang ibu lagi yang mengerang kesakitan. Ya rabbi, saya tidak pernah hadapi suasana ini. Tapi saya kembalikan fokus saya pada keadaan saya dan tidak mahu terganggu dengan situasi ibu di sebelah. Saya tarik nafas dalam-dalam ketika kontraksi kuat datang dan berzikir doa Nabi Yunus: “La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzalimin.” Terasa agak lama berbaring menahan sakit di atas katil itu walaupun hanya 10 minit.

Sampai waktu yang saya tidak lagi dapat menahan sakit, saya memanggil doktor dan team jururawat segera menolak katil saya ke dalam ruang bersalin (labor room). Dalam keadaan seperti separuh sedar, saya sempat meminta jururawat memanggil suami saya yang menunggu di dewan bersalin. Saat saya perlu berpindah dari katil luar ke katil di labor room, saya meneran sekali dan bayi terus keluar. Fuhh! Paling pantas dalam rekod 6 orang anak kami. Suami saya tak sempat menyaksikan bayi keluar. Dia sampai-sampai sahaja, bayi dah selamat lahir..haha..

Alhamdulillah syukur
Sempurna sifat
3 September, 8.14 malam
Anak lelaki, 3.02 kg
Selamat dilahirkan
Selamat datang Anas ke dunia!

We LOVE you ANAS!
Alhamdulillah we are blessed with these 3 boys 3 girls

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s