Greenwood: Tempat bertemu orang Timur dan Barat

Bagi warga Gombak dan penduduk sekitarnya, atau jika ada yang pernah  bergelar pelajar atau mahasiswa Institusi Pendidikan berhampiran seperti Universiti Islam Antarabangsa, UniKL British Malaysian Institute (BMI), Kolej Vokasional Gombak, Sekolah Rendah/Menengah Islam Al-Amin Gombak dan lain-lain, pasti kenal dengan Greenwood. 

Sebuah perbandaran lama yang menghubungkan Timur dan Barat yang diapit oleh interchange MRR2 (Middle Ring Road 2) antara lebuhraya DUKE (Duta-Ulu Kelang Expressway) dan LPT (Lebuhraya Pantai Timur) . Di Greenwood, walaupun agak paradoks pada namanya (jika diterjemah secara harfiah bermaksud: Kayuhijau), merupakan pusat aktiviti yang penuh warna-warni. Greenwood juga terletak tidak jauh dari lokasi tarikan pelancong iaitu Batu Caves dan Gua Damai Extreme Park.  

Apabila disebut Greenwood, kenangan lama yang terimbau dalam memori saya adalah Hentian Bas Greenwood yang sangat sibuk dengan Bas Mini Wilayah mengambil dan menurunkan penumpang. Sekitar tahun 1992-1995 semasa saya bersekolah di Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Sg Pusu, saya dan rakan-rakan akan menaiki bas awam Len Seng nombor 174 tidak jauh dari sekolah menuju ke Greenwood sebelum menaiki Bas Mini no 14 menuju ke Chow Kit, SOGO atau pun Petaling Street, sebagai aktiviti outing kami di hujung minggu. Era 90an mungkin itulah tempat meronda yang agak sopan untuk kami pelajar perempuan sekolah agama. LOL!

BMW
Bas Mini Wilayah (Sumber: SINI)

Saya dan Greenwood

Siapa sangka selepas 23 tahun, saya perlu lebih kerap ke lokasi ini. Kali ini bukan sebagai penumpang bas atau singgah sebentar ke pasar malam, tetapi sebagai salah seorang wakil Kerajaan Tempatan yang berfungsi sebagai mata dan telinga penduduk di sini. Tepatnya 26 Julai 2018, saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis bersama 23 orang lagi yang lain bagi Majlis Perbandaran Selayang. Satu lantikan yang merupakan amanah yang berat diberikan oleh Parti Amanah Negara, parti yang saya pilih sebagai platform untuk memberi bakti kepada pembangunan sosio-politik negara.

20180726_102747.jpg

Selesai acara mengangkat sumpah, parti-parti politik komponen Pakatan Harapan (pakatan politik yang diberi mandat oleh rakyat sebagai Kerajaan Persekutuan dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei) masing-masing berunding untuk menentukan zon atau kawasan tanggungjawab Ahli Majlis dalam Majlis Perbandaran Selayang, yang meliputi tiga mukim; Mukim Rawang, Mukim Batu dan Mukim Setapak. Akhirnya setelah berlaku pertemuan dengan pimpinan rakan parti, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), saya dipertanggungjawabkan mentadbir Zon 3 (Taman Greenwood dan 8 taman lain serta sebuah kampung).

Zon 3 saya adalah yang berwarna oren kecil di sudut bawah sebelah kanan. Jujurnya saya agak bertuah kerana zon saya tidak begitu luas tetapi kerencaman penduduknya tidak kurang menuntut kemahiran kepemimpinan dan juga ‘seni bersilat’ mendepani pelbagai cabaran.

Secara teknikalnya tanggungjawab seorang Ahli Majlis adalah seperti berikut:

1. Merancang dan membuat dasar;

2. Menentukan matlamat;

3. Memantau pelaksanaan;

4. Menilai hasil;

5. Jurucakap rakyat kepada Majlis; dan

6. Jentera penerangan Majlis.

7. Menjaga Jatidiri dan Integriti Ahli Majlis

Bagi menggubal dasar, Ahli Majlis perlu memahami beberapa sumber kuasa Kerajaan Tempatan iaitu:

1. Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)

2. Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (pindaan) 2017 (Akta 172)

3. Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), dan

4. Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)

*dry..yes..dry..I know..uhuk2 paksa diri untuk baca*

Rakyat dan Kehidupan (1)

Dalam kempen Pilihanraya Umum ke-14, saya dalam Tim Penerangan Wanita Pakatan Harapan cukup faham bahawa kami berhadapan dengan rakyat yang menjadi penentu kemenangan. Mereka adalah kehidupan, mereka bukan sekadar angka ataupun statistik. Sebab itu lah, apabila saya ditaklifkan tugas Ahli Majlis, sasaran saya adalah menyelami kehidupan penduduk di Zon 3 ini. Mengangkat kesulitan mereka dan menambah kesejahteraan hidup mereka seharian.

Saya bertemu dengan ramai entiti dan kelompok masyarakat yang berpengaruh. Golongan peniaga, pentadbir masjid dan surau, pemimpin persatuan penduduk. 

Di kawasan Greenwood ini ada medan selera bersebelahan hentian bas. Orang-orang pantai timur ramai yang berniaga di sini. Sebelum masuk ke simpang utama Taman Greenwood dan taman-taman perumahan lain, ada beberapa gerai penjaja membuka meja dan payung berwarna-warni. Nasi berlauk, nasi dagang, nasi lemak adalah juadah jualan sarapan pagi. Sebelah tengahari penjaja lain bertukar ganti. Ada peniaga apam balik, ayam gunting, laksa. Meriah! Ada yang memiliki permit sah berniaga walaupun sekadar buka meja lipat.

Namun, saya juga menerima aduan berkaitan peniaga masakan panas pantai Timur yang tiada permit dan berniaga secara tidak sah. Yang berniaga makanan dari dalam rumah juga adalah pemandangan biasa di sini (baca: sudah berbelas tahun mereka beroperasi).

Yang halal yang haram, dari sudut undang-undang PBT, semua ada di sini. Ini telah mencorakkan budaya dan lanskap Greenwood. Seorang penduduk pernah mengkritik, “Puan, pintu masuk Greenwood sepatutnya adalah gah dan meraikan tetamu masuk rumah. tapi taman kita pintu depan macam pintu jamban! Kotor!” 

Seawal Oktober, saya telah menulis surat agar pihak penguatkuasa mengambil tindakan ke atas peniaga-peniaga tanpa permit. Walau bagaimanapun, tindakan tegas Jabatan Penguatkuasa MPS tidak berakhir begitu sahaja. Peniaga tanpa permit muncul kembali dalam tempoh 48 jam selepas operasi. Di sinilah tercabarnya kedaulatan undang-undang.

Komuniti Peniaga Greenwood

Mengapa tindakan undang-undang tidak berkesan pada peniaga tanpa permit ini? Ini persoalan yang bermain dalam fikiran saya dan menuntut kepada satu penyelesaian yang holistik, bukan sekadar dalam tempoh jangkamasa yang pendek.


Adakah PBT memberi ruang niaga sah kepada mereka?
Adakah proses permohonan secara rasmi sukar dan sulit?
Adakah berlaku rasuah yang membolehkan peniaga terus dibenarkan tanpa perlu mengikut lunas undang-undang?
Adakah kerana peluang ekonomi lumayan di sini?

Saya belum mendalami latar belakang setiap daripada penjaja ini. Tapi apa yang pasti ada di antara mereka adalah asnaf kategori miskin, ada juga pendatang dari Selatan Thailand dan macam-macam lagi kisah mereka. Golongan penjaja tepi jalan adalah salah satu segmen rakyat dalam Zon Greenwood ini yang berjuang saban hari untuk survival kehidupan.

Dan saya, selaku Ahli Majlis, perlu mencari solusi bersama Majlis Perbandaran Selayang bagi menaiktaraf Greenwood menjadi lokasi menarik untuk peniaga legal, memakmurkan ekonomi tempatan dan juga memastikan kelestarian alam sekitar dan penduduk sekitar. Selari dengan moto MPS iaitu Mampan, Progresif dan Sejahtera.

Azam saya dalam sepenggal lantikan saya dan seterusnya bagi sesiapa pun yang bertanggungjawab sebagai pentadbir, Greenwood akan kekal sebagai pusat sehenti warga Timur dan Barat Semenanjung Malaysia dan satu hari nanti berwajah indah meraikan semua tetamu dan pemastautinnya!

3 thoughts on “Greenwood: Tempat bertemu orang Timur dan Barat

  1. Wow… walau di istilah sbg “dry” namun menarik. Mahal tau membaca pengalaman yg bermanafaat… sampai habis takde pun cerita tentang makcik dlm gambar tu. Ke makcik terlepas pandang Anfaal? 😅
    Teruskan berkarya… experience in true life… priceless!…
    Moga Allah mudahkan segala urusan kalian yg sedang berjuang menegakkan syariat Nya… aamiin…

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s