Retorik Representasi Wanita dalam Politik?

Pesta demokrasi datang lagi. Telahan dan spekulasi tarikh rakyat Malaysia memilih kini telah terjawab setelah pengumuman rasmi pembubaran parlimen dibuat pada 7 April 2018 disusuli dengan pengisytiharan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi pada 9 Mei 2018 oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Fasa kini merupakan saat kritikal bagi semua parti menentukan calon-calon yang bakal bertanding dan mewakili partinya dalam pilihanraya umum.

Selagi watikah perlantikan sebagai calon tidak diserahkan pada tangan empunya diri, tiada seorang pun boleh menuntut dia orangnya yang akan bertanding atas tiket partinya atau parti orang lain. Winnability atau faktor kebolehmenangan adalah perkara terutama yang diambilkira dalam pemilihan. Berprestasi? Sesuai dengan faktor demografi dan profil pengundi di konstituensi? ATAU faktor siapa yang mengenali calon (Baca: Based on you-know-who?)

Kebolehmenangan Calon

Faktor kebolehmenangan seseorang calon secara strategiknya wajar mengambil kira profil pengundi. Sebagai contoh, daftar pemilih suku ke-4 tahun 2017 menyenaraikan 14,940,624 pengundi yang melibatkan 7,557,187 pengundi wanita (50.58%) dan 7,383,437 pengundi lelaki (49.42%). Ini bermakna pengundi wanita relatif lebih tinggi berbanding lelaki secara keseluruhan dan mungkin peratusan berbeza bergantung kepada taburan penduduk di sesebuah konstituensi. Hakikatnya, calon lelaki mahupun wanita yang memenangi pilihanraya bertanggungjawab mentadbir perihal kehidupan berkaitan lelaki dan juga wanita!

Dalam dunia politik, yang akan terpilih menjadi wakil rakyat hanya 1%. 222 kerusi parlimen dan 576 kerusi DUN (dewan undangan negeri). Mana mungkin kesemua aktivis politik dan pemimpin politik berpeluang bertanding dan menduduki kerusi-kerusi panas tersebut. Tambah pula arena politik sinonim sebagai dunia lelaki, penuh maskulin! It’s a man’s world.

Sedangkan hal mentadbir masyarakat juga memerlukan representasi wanita yang memahami keperluan wanita dan keluarga diangkat dalam penggubalan polisi dan dasar baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Demokrasi Politik

Demokrasi politik menjana peluang sesiapa sahaja untuk mengutarakan idea di peringkat nasional. Ini termasuklah warga wanita yang ikut terlibat dalam isu sosio-ekonomi dan politik. Walaupun hakikatnya di Malaysia, isu ini masih lagi didominasi oleh kaum lelaki dalam sistem patriarki.

Persoalan saya, apakah terjemahan dan komitmen parti-parti politik yang melaungkan peluang inklusiviti untuk semua? Perihal pemekaan gender (gender sensitization) dalam memilih calon dalam pilihanraya adalah satu isu mendasar dan menggambarkan kesungguhan pemimpin sesebuah parti memberi peluang partisipasi wanita yang saksama. Mekanisme kuota, iaitu minima seorang wanita bagi setiap tiga calon masih jauh tersasar. Kuota ini bukan bermakna pemilihan ‘asal cukup’ sehingga mengorbankan kualiti malah tidak berupaya memberi sumbangan yang signifikan. Pun begitu, ketetapan ini wajar ditegaskan secara berulang dalam membentuk satu budaya yang lebih sihat dalam pendemokrasian di peringkat nasional.

Posisi Strategik Wanita

Adakah wanita hanya diberi tempat dan laluan HANYA apabila wanita buat bising? Make some noise ladies! Atau wanita harus beralah kerana ruang itu sudah terlalu sesak dengan terlalu ramai calon lelaki yang lebih kredibel? Atau wanita adalah warga kelas kedua dalam kepimpinan, malah posisi strategik yang hanya layak buat wanita adalah lantikan-lantikan politik ‘sejurus kita mencapai kemenangan’? 30% kuota adalah angka yang munasabah tetapi masih dipandang enteng dalam pemposisian wanita secara strategik di peringkat nasional.

Wanita Pakatan Harapan meletakkan agenda tumpuan melakukan tindakan afirmatif dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti wanita dalam partisipasi politik. Agenda ini tidak mungkin mampu dilaksana sekiranya fasa kritikal pemilihan calon dalam pilihanraya umum kali ini tidak mengambilkira bilangan wanita yang signifikan dari setiap parti.

Syabas saya ucapkan pada parti-parti yang telah menamakan calon-calon wanita di kerusi Gred A dan bukan Gred C. Itulah komitmen jitu kepimpinan yang meyakini kompetensi wakil rakyat adalah dinilai pada merit bukan pada gendernya. Bagi parti-parti politik lain yang masih berkira-kira lagi, terimalah teguran ikhlas saya untuk benar-benar inklusif dan menerima hakikat bahawa: Wanita adalah Denyut Nadi Politik. Wanita bukan sekadar foot-soldiers atau enjin penggerak, tetapi wanita juga punya buah fikir dan idea untuk diketengahkan dalam struktur yang lebih tinggi.

Sekiranya parti politik beriltizam untuk memenuhi kuota 30% sebagai sebuah mekanisme dalam memastikan kesaksamaan gender, ia tidak terhenti sebatas pemilihan calon wanita yang signifikan tetapi diteruskan dengan pendidikan politik. Pendidikan yang membebaskan pemikiran stereotaip dan diskriminasi terhadap ruang dan peluang untuk wanita.

Kita mampu ubah jika kita mahu!
“For me, a better democracy is a democracy where women do not only have the right to vote and to elect but to be elected.” Michelle Bachelet (Ketua Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, mantan Presiden dan Menteri Pertahanan Chile)

Salam HARAPAN,
Anfaal Saari
Naib Ketua Wanita Pakatan Harapan Nasional
Naib Ketua 3 Angkatan Wanita Amanah Negara (AMANAH) Nasional (AWAN)

(Artikel ini telah diterbitkan di portal berita Malaysia Dateline pada 15 April 2018)

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s