Wanita Rebel dalam Taat (1)

Ada satu sisi dalam hidup seorang wanita yang pasti merasakan haknya tidak dipenuhi. “Kenapa lelaki mesti menang? Kenapa perempuan mesti ikut semua cakap orang lelaki?” Atau, kalau memandu di belakang kereta perlahan, lelaki akan berkata, “Mesti perempuan ni!” Itu memang stereotyping!

Saya tidak terkecuali merasakan ada hak wanita yang tertindas. *sedia pakai topi feminis* Terasa heroic kalau dapat menyuarakan pandangan di hadapan orang lelaki yang meremehkan orang perempuan. Tambah best jika mereka mendengar lalu mengangguk bersetuju. Menjadi wanita gagah luar biasa yang membela nasib wanita yang menjadi mangsa lelaki tidak bertanggungjawab, fuh..memang terasa aura menjadi Wonder Woman!

Wonder Woman

Keterlibatan saya sebagai aktivis seawal usia 17 tahun dengan mahasiswa, sering kali berlaku pergeseran atau perbezaan pandangan dengan aktivis lelaki (kami gelar: Ikhwah – saudara-saudara lelaki). Tidak setuju logo, tidak setuju tarikh program, tempat program, persoalkan kenapa ‘ikhwah lembap tak buat kerja?’ dan seribu hal lagi. Sebelum berkahwin, memang ada-ada sahaja isu yang kami aktivis wanita (Baca: Akhawat) bangkitkan. (psstt: sekarang pun ada je lagi bunyi)

Ditakdirkan saya berkahwin dengan aktivis Alumni yang juga aktif menguruskan program (daurah, mukhayyam, katibah dan lain-lain) dan juga mengendalikan halaqah ikhwah, banyak ketika di rumah kami berbincang dan berbeza pendapat. Selembar jiwa feminis rebel memang wujud dalam diri saya. Setuju, tak setuju, setuju, tak setuju. Memang panas perbincangan tapi akan tuntas, kerana saya tidak hanya meredamkan pandangan saya. Opini saya disampaikan, dia mendengar walau pun tidak bersetuju. Seperti menghidupkan demokrasi dalam ‘negara mini’ kami.

Memetik kata-kata Abu Al-Hamd Rabi’ dalam bukunya ‘Membumikan Harapan: Rumah tangga Islam Idaman’, “Kepemimpinan dalam keluarga bukanlah kepemimpinan autokratik, melainkan berdasarkan prinsip musyawarah kerana musyawarah dianjurkan kepada umat Islam dalam menghadapi segala urusannya. Bermusyawarah dalam rumah tangga seperti ini diatur dengan beberapa ketentuan. Di antara firman Allah: ‘Dan mereka (para perempuan) mempunyai hak seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang patut (Al-Baqarah: 228)'”. 

Hak menyuarakan pendapat adalah elemen penting dalam bermusyawarah. Mana mungkin suami isteri bermusyawarah jika salah seorang memendam rasa dan berdiam kerana khuatir pandangannya salah dan tidak diterima.

facebook_1511627522250
Pertama kali diminta berucap di atas lori semasa Himpunan BANTAH GST, 2016

Syariat Menuntun Akal dan Emosi

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً)

Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, serta ulil amri diantara kalian. Jika kalian berselisih dalam suatu hal, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir.Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” (QS. An Nisa: 59)

Perdebatan idea dan perselisihan pendapat tidak wajar dilakukan atas premis akal dan emosi semata-mata. Sebagai wanita Muslim, apa lagi yang memperjuangkan fikrah Islam melalui dakwah dan harakah perlu jelas dalam bertindak dan bersuara. Atas dasar itu, wanita da’iyah (pendakwah wanita) wajib bergerak dengan ilmu khususnya berkaitan syari’at. Apakah Allah redha? Adakah Rasulullah suka? Semua jawapannya terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi ia tidak boleh diceduk dan dibaca secara tekstual semata-mata tanpa melihat konteks semasa.

Mari kita senaraikan peranan wanita dalam kehidupannya.
1) Wanita sebagai anak
2) Wanita sebagai isteri
3) Wanita sebagai ibu
4) Wanita sebagai ahli masyarakat
5) Wanita sebagai agen amar makruf nahi munkar
6) Wanita sebagai pemimpin

Banyak bukan? Ada wanita yang memilih cukup berperanan hingga no 3. Uruskan keluarga juga seperti mengurus sebuah negara!

Namun, ada wanita yang diberi kelebihan untuk tidak sekadar berperanan di dalam lingkungan rumahnya tetapi keluar ke lingkungan umum: masyarakat, organisasi dan negara. Selagi suaminya redha dan isteri itu patuh dengan syarat-syarat yang ditetapkan, saya berpandangan bahawa wanita itu melakukan tugas yang murni dan terpuji apa lagi dalam tugas amar makruf nahi munkar.

Teladan Para Wanita

Lalu, apakah sandaran wanita dibenarkan memikul tugas dakwah dan bersuara di luar rumah? Ayuh kita jejaki jalan para sahabiah:

1. Ummul Mukminin Aisyah r.a

Sahabiah mulia yang menjadi rujukan para sahabat dalam ilmu dan hukum-hakam. Abu Musa Al-Asy’ari berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Banyak kalangan lelaki yang mencapai kesempurnaan sifat utama (di antaranya ada yang menjadi nabi, rasul dan lain-lain); dan jarang dari kalangan perempuan yang mencapai kesempurnaan sifat utama kecuali Maryam putri Imran dan Asiyah isteri Firaun. Keutamaan Aisyah atas perempuan lainnya seperti keutamaan tsarid (daging yang dicampur roti atau makanan istimewa ketika itu) atas makanan lainnya.” 
(Sahih Bukhari. Riwayat oleh Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

2. Khaulah binti Tsa’labah

Sahabiah ini menghentikan langkah Umar Al-Khattab saat menjadi Amirulmukminin dan berpesan dengan suara yang lantang; “Wahai Umar, berhentilah! Wahai Umar, telah jauh sekali aku mengenalmu. Ketika engkau bernama Umair (Umar kecil), engkau berada di Pasar Ukadz. Engkau menggembala sahaya-sahaya. Tidak berapa lama engkau bernama Umar dan sekarang engkau disebut Amirulmukminin. Maka takutlah kepada Allah dalam mengurus rakyat. Ketahuilah, barangsiapa takut akan ancaman siksa maka dekatlah ia dengan sesuatu yang jauh; dan siapa yang takut akan mati maka ia khuatir akan tertinggal.” Umar mendengar pesanan Khaulah, seorang wanita yang Allah telah mendengar pengaduannya dari atas tujuh langit (dalam hal zihar) lalu diturunkan wahyu kepada Rasulullah sebagai jawapan (Surah Al-Mujadilah: 1-4).

3. Asy-Syifa binti Abdullah

Rasulullah s.a.w memanggil Asy-Syifa’ untuk merawat seorang lelaki Ansar yang luka pada badannya selepas memperagakan cara merawat di hadapan Rasulullah. “Sekarang tolong ubati lelaki ini. Setelah itu, ajarkanlah caranya kepada Hafsah seperti halnya kamu pernah mengajarinya cara-cara menulis.” (HR. Hakim)

4. Ummu Salamah

Kisah masyhur ketika peristiwa Hudaibiyah, para sahabat dalam keadaan marah dan terkejut kerana keputusan Rasulullah s.a.w untuk tidak meneruskan perjalanan masuk ke Makkah bagi menjalankan ibadah umrah. Walau pun Rasulullah telah menyeru kepada mereka sebanyak tiga kali untuk menyembelih qurban dan bercukur, para sahabat tetap tidak bertindak. Dengan perasaan kesal, Rasulullah s.a.w menemui isterinya Ummu Salamah menceritakan masalah tersebut. Dengan sabar, Ummu Salamah mengatakan, “Wahai Nabi Allah, bersediakah kamu menerima cadangan saya? Sebaiknya  kamu keluar sendiri tanpa perlu berbicara sepatah kata pun kepada mereka. Engkau sembelih haiwan korbanmu sendiri, kemudian panggillah tukang cukur untuk mencukur rambutmu.”

Rasulullah keluar tanpa bicara sepatah kata pun dan melakukan sebagaimana saranan Ummu Salamah. Melihat tindakan baginda, para sahabat semua bergegas bangkit untuk menyembelih haiwan korban dan saling mencukur rambut yang lain.

5. Sahabiah Menyertai Hijrah ke Habsyah

Dalam pengembangan pengaruh politik Rasulullah iaitu penyebaran risalah Islam, baginda memulakan hijrah iaitu ke Habsyah pada bulan Rejab tahun kelima kenabian. Para sahabiah tidak terkecuali, di antaranya: Ruqayah puteri Rasulullah s.a.w, Sahlah binti Sahal (isteri Abu Hudzaifah), Ummu Salaman binti Abu Umayyah (isteri Abu Salamah), Laila binti Hitsmah (isteri Amir bin Rab’ah).

6. Sahabiah Menyertai Hijrah ke Madinah

Hijrah bermotifkan pembinaan Negara Madinah juga melibatkan para sahabiah. Bukan hanya sahabat sahaja yang digesa berhijrah. Di antara para sahabiah berhijrah adalah Asma’ binti Abu Bakr, Ummu Salamah. Malah, ketika berlakunya perjalanan hijrah Asma’ dalam keadaan sarat mengandung Abdullah ibn Zubair. Beliau singgah di Quba’ dan melahirkannya di sana. Bolehkah kita bayangkan bagaimana keadaan wanita ini? Lahirnya Abdullah ibn Zubair merupakan bayi pertama yang lahir dalam Islam (di Madinah dari kaum Muhajirin).

7. Ummu Darda’

Zaid bin Aslam mengatakan bahawa sesungguhnya Khalifah Abdul Malik bin Marwan mengirim beberapa peralatan rumah kepada Ummu Darda’. Pada suatu malam, Abdul Malik terbangun lalu memanggil pelayannya. Kerana terlambat menyambut panggilannya, Abdul Malik memaki pelayannya. Keesokan harinya, Ummu Darda’ berkata: “Aku mendengar semalam kamu memaki pelayanmu ketika kau memanggilnya. Aku pernah mendengar Abu Darda’ mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Orang-orang yang mengutuk (melaknat) tidak dapat memperoleh syafaat dan tidak dapat menjadi saksi pada hari kiamat.” (HR. Muslim)

8. Sahabiah di Medan Jihad

Di antara para sahabiah yang turun ke medan jihad baik untuk tujuan merawat dan lain-lain adalah; Ummu Haram binti Milhan, Ummu Hani binti Abu Thalib, Ummu Sulaim Al-Ghumaisha binti Milhan, Rufaidah dan Fatimah binti Muhammad.


WANITA REBEL DALAM TAAT

Mengapa saya mengangkat tema ini? Kerana betapa ramai wanita yang taat perintah suaminya tetapi dalam diam berasa takut, resah, bahkan gerun untuk bersuara, apa lagi meminta izin untuk menyerlahkan potensi menjadi agen amar makruf nahi munkar di luar sana. Rebel di sini bukan secara literal ‘memberontak’ pada perkara yang tidak syar’ie tetapi dalam hal-hal yang dibenarkan dalam Islam. Bersuara lantang tapi masih dalam bingkai ketaatan.

Tawakul__march_pic_1
Tawakkol Karman : jurnalis dan ahli politik Yaman

Kepatuhan wanita pada suami mesti berpegang pada prinsip-prinsip berikut:

1) Taat dalam perkara yang tidak bermaksiat pada Allah.

2) Taat semampunya. Suami wajib membantu isteri memenuhi tugas dan tanggungjawab, bukan melepaskan tangan dalam pelaksanaan tanggungjawab bersama.

3) Taat dengan sikap saling menghormati dan menghargai.

4) Taat yang muncul dari jiwa dan atas dasar cinta dan kasih sayang.

5) Taat dengan mengembangkan sikap saling bermusyawarah.

6) Taat untuk saling memberikan nasihat dan mengingatkan, berkorban, dan berkomitmen menjalankan agama dan syariat Allah.

Saya ingin menyeru para wanita muslimah berpegang pada prinsip syariat untuk sentiasa tetap dalam ketaatan dan tidak tergelincir dari landasan hanya kerana menurut emosi dan logik akal semata-mata. Ikuti tulisan saya dalam posting seterusnya berkaitan teladan Wanita Rebel Dalam Taat (2). *Stay tune!

Rebel

RUJUKAN:
1) Membumikan Harapan: Rumah Tangga Islam Idaman, Abu Al-Hamd Rabi’
2) Jalan Dakwah Muslimah, Ali Abdul Halim Mahmud
3) Keakhawatan 2: Bersama Tarbiyah Mempersiapkan Akhawat Menjadi Daiyah, Cahyadi Takariawan, Abdullah Sunono, Wahid Ahmadi, Ida Nur Laila

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s