Melawati Mall: Keterujaan terbaru

26 Julai 2017 adalah tarikh pembukaan Melawati Mall, sebuah kompleks membeli belah di dalam kawasan perumahan keluarga kami. Taman Melawati, tersimpan seribu satu kisah. Ada kisah pencinta alam, para peniaga, syarikat pemaju (township developer) dan kisah rakyat dari yang biasa-biasa kepada orang kenamaan, bergelar dan juga artis.

Melawati Mall
(Sumber: http://www.melawatimall.com/about.aspx)

Saya membesar di Hulu Kelang, tepatnya di Taman Permata dan Lembah Keramat mulai tahun 1987 selepas Ayah mulai menyewa rumah yang kedua selepas pulang dari United Kingdom. Rumah sewa pertama kami adalah di Taman Desa Keramat. Tahun 80an, jalan besar Lingkaran Tengah 2 (MRR2) belum siap lagi. Menaiki basikal dari Lembah Keramat merentasi jalan utama pemisah untuk ke Taman Melawati tidak begitu payah. Deretan kedai utama di Taman Melawati itu tempat saya berurusan di pejabat pos, membeli benang cross stitch di Kedai Jahit Wan Lam, membaiki jam tangan dan juga sesekali makan cendol dan rojak di warung kecil mamak di bawah pokok besar (kini tapak tersebut telah dibangunkan Melawati Corporate Centre).

SA-BELUM

Tapak Melawati Mall dahulu adalah kawasan lapang selama bertahun-tahun. Satu bahagian merupakan padang berumput tempat anak-anak muda bermain bola sepak. Satu bahagian lagi adalah tanah kosong berpasir, selalunya berlopak air tempat pengunjung pasar malam atau pasar tani meletakkan kenderaan pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Jika tiada kenderaan, sesekali di sebelah petang ada aktiviti permainan kapal terbang kawalan jauh. Kuat benar bunyi motornya. Ramai penonton di tepi padang berbanding pemainnya.

Kini Taman Melawati mulai berubah gaya hidupnya. Semakin meriah. “Happening!” kata orang. Tidak kurang juga ia mengundang keresahan buat penduduk tempatan. Entah berapa kali saya mendapat mesej Whatsapp aduan tentang tindakan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) menangani isu kesesakan lalu lintas.

“Belum siap mall pun jalan jem! Nanti dah siap lagi teruk sesak. Entah sesiapa pulak yang masuk ke kawasan komuniti kita ini!” memang marah betul Pakcik tu.
Ada juga yang berharap Ayah saya selesaikan semua, “YB ni tak buat kerja ke??!!”

SA-LEPAS

Sebagai warga Hulu Kelang dan juga Taman Melawati secara khusus, saya suka memerhati dan mendengar suara orang ramai. Ironinya saya boleh menghayati dan memahami perasaan semua pihak. Siapa mereka?

Pemaju – Sime Darby Property Sdn. Bhd & CapitaLand Mall Asia (Singapore)

Sebagai syarikat pemaju, Sime Darby adalah di antara syarikat tersohor dalam industri hartanah negara. Sime Darby mensasarkan pembangunan lestari dalam komuniti (sustainable communities). Sebelum Melawati Corporate Centre dan Melawati Mall dibina, saya menyaksikan terdapat banyak acara kerjasama yang erat di antara Sime Darby dengan pihak tempatan, di antaranya Melawati Fun Run, Projek Tanam Pokok, Lumba Basikal dan macam-macam lagi. Perniagaan teras syarikat ini adalah pembangunan. Ada projek baru, ada pembeli, maka kitaran perniagaan pun berlaku. CUMA, projek-projek perumahan Sime Darby dalam Taman Melawati lebih mensasarkan kepada kelompok menengah sederhana dan ke atas. Mahu cari harga rumah apartment atau kondominium milik Sime Darby di bawah RM400 ribu? Usah bermimpi! Ada tanah, ada peluang, ada pembangunan, ada market place – souq – duit pun masyuk!

Suami saya terlibat dalam pelaburan hartanah. Dari sudut pandang sebagai pelabur, ini petanda bagus! – More people, more value!

Pencinta Alam – Save Melawati Hill

Ada sekelompok komuniti pencinta alam di Taman Melawati yang terdiri daripada warga aktif rekreasi dan juga alam sekitar yang menubuhkan sebuah kumpulan pendesak yang dinamakan Save Melawati Hill. Saya mengetahui kewujudan kumpulan ini selepas Ayah menang Pilihanraya ke12 (2008) dan menjadi ADUN Hulu Kelang. Ahli-ahli kumpulan ini ada yang meminati aktiviti jogging dan memanjat bukit di hadapan rumah pelakon-dan-pengarah filem Yusuf Haslam. Mereka membantah pembangunan di bukit ini.

Baru-baru ini saya berbual dengan salah seorang aktivis kumpulan ini:
“Kak Y, dah pergi Melawati Mall ke?”
“Tak pergi. Tak nak lah. Kak Y ahli Save Melawati Hill. Dari awal dulu kita bantah pembangunan Melawati Mall ni tau… tiba-tiba pulak nampak kita berjalan dalam Mall ni. Tak nak lah!”

Nampak tak golongan environmentalist tak nak kalah dengan golongan kapitalis? (Amboi istilah bombastik sangat!) Begitulah kuasa orang berduit!

Ini kawasan rekreasi yang masih terpelihara di dalam Taman Melawati:
1. Bukit Melawati – Depan rumah Yusuf Haslam
2. Bukit Tabur – Tempat mendaki yang membawa pendaki melihat pemandangan Empangan Klang Gate yang indah
3. Taman Warisan – Kawasan sungai di bawah Empangan Klang Gate

Bukit tabur
Bukit Tabur
(Sumber: https://www.lipstiq.com/2013/47644/6-hiking-spots-and-nature-trails-in-klang-valley)

Saya sangat berharap tempat-tempat ini tidak diusik dek sebarang projek pembangunan. Kami sekeluarga menghargai kewujudannya kerana outdoor dan aktiviti rekreasi adalah kegemaran kami.

Peniaga Pasar Malam dan Medan Selera

Tempoh hari saya menaiki kereta dengan makcik-makcik dari Kampung Kemensah, keluh mereka;
“Tempat beli barang dapur (Village Grocer) dalam Melawati Mall tu untuk orang berduit je lah. Kami ni mana lah mampu beli barang kat situ.”
“Medan selera tu pun hidup segan mati tak mahu. Siapa lagi nak datang situ?”

Melawati_02

Saya tiada komen kerana saya pun jarang ke Medan Selera Taman Melawati berhampiran dengan tapak Pasar Malam. Entah sebesar mana “Cik T” berkeliaran di dalam longkang-longkang keliling Medan Selera Melawati tu (eeeiii!).

Sambung makcik itu lagi: “Entah-entah tapak pasar malam tak lama lagi kena pindah. Peniaga biasa-biasa nak meniaga kat mana lah agaknya.”

Sayu sahaja bunyinya.

Saya baru berbual dengan suami saya tentang peniaga-peniaga pasar malam yang kami menjadi pelanggan mereka sejak belasan tahun tapak niaga tersebut berada di situ. Pakcik jual Taufufa dan Air Soya, kakak kembar yang jual Roti John, makcik tangan sasa yang jual Yong Tau Fu, brother jual Char Kuey Tiaw dalam kuali besar dan ramai lagi. Saya tak pernah tahu nama mereka tetapi saban hari pasar malam mereka berniaga. Dulu rambut masih hitam, sekarang sudah jadi silver! Dulu kakak slim, sekarang sudah berisi. Dulu berdua suami isteri, sekarang sudah ada anak bujang membantu. Begitulah tanda lamanya mereka berniaga.

Saya empati dengan peniaga-peniaga ini. Tetapi jauh di dalam hati kecil saya, saya berharap nilai keusahawanan jika diterapkan pada mereka, akan membawa mereka jauh ke hadapan dari proses perniagaan berulang saban tahun malah sehingga usia emas mereka. Seller vs Entrepreneur. Saya tahu kedua-duanya berniaga tetapi ilmunya tidak sama!

Pengusaha Empayar Niaga

Menjadi usahawan selama 14 tahun, networking saya berkembang alhamdulillah dengan penyertaan saya dan suami dalam komuniti bisnes, persatuan usahawan, menghadiri seminar dan acara pameran serta expo. Baru-baru ini saya memenuhi undangan jamuan makan sahabat lama. Turut hadir sama adalah pemilik butik Z yang saya pernah kenal sebelum ini.

Ujarnya: “Kak Anfaal, Dataran dah mati. Crowd kurang. Sekarang orang berpusu-pusu ke Melawati Mall. I nak sewa dalam Mall tapi sebab delay siap tak nak lah ambil awal-awal. Sure duit terbakar kat situ puluh ribu beberapa bulan.”

Disebabkan saya dan suami suka mengamati perkembangan pasaran (market watch), kami telah menjejak kaki ke Melawati Mall dan berbual-bual dengan peniaga-peniaga. Caj sewa per-square-feet adalah dari RM10 ke RM15/sft. Ada syarikat yang hanya membuka pop-up store (konsep minimal, bukan deco butik kekal) untuk tempoh yang pendek kerana ingin menilai pasaran sebelum membuat keputusan menyewa secara kontrak.

Begitulah kerisauan pengusaha kedai. Semuanya berkait. Saya faham dilema tersebut. New marketplace attracts entrepreneurs and shoppers. Dari sudut pandang positif sebagai usahawan, ini adalah perkembangan yang baik. Pemilik rangkaian kedai atau butik mengembangkan lagi bisnesnya dengan menambah bilangan outletnya. Itu satu pencapaian yang harus dibanggakan. Peniaga kaya raya yang soleh, semakin maju, sudah tentu sumbangan zakatnya mencanak naik. Best ke Best? (soalan geng-geng sifu bisnes yang seorang itu)  :p

Gambar hiasan: Butik Siti Khadijah, salah sebuah penyewa kedai di dalam Melawati Mall

Penduduk Komuniti

Kesatuan penduduk telah mengadakan sesi dialog dengan pihak MPAJ beberapa kali membangkitkan isu keselamatan penduduk dan juga kesesakan lalu lintas yang dijangka akan menjadi lebih parah dengan pembukaan Melawati Mall. Orang luar parking kereta di kawasan perumahan, kesesakan lalu lintas dan lain-lain diutarakan.

Sebagai salah seorang penduduk, kami juga risau dengan perkembangan ini. Semoga ada jalan penyelesaian yang baik. Mall tu bukan terletak sebulan-dua di kawasan komuniti ni, TETAPI puluhan tahun lagi akan terus kekal berada di sini. Kami akan terus hidup dengan kehadirannya.

PEMBANGUNAN SEIMBANG

Saya berfikir panjang sambil mengamati input dari beberapa pihak ini. Semua keadaan pun saya mengerti. Saya pelabur hartanah, saya pernah berniaga, saya peminat tarikan alam semulajadi dan juga rakyat biasa yang mengharungi kehidupan harian di komuniti dengan atau tanpa Melawati Mall!

Pada saya, semua pihak berkepentingan dan menyumbang kepada kerencaman serta keunikan Taman Melawati. Tak syok lah jika tiada lagi gerai Nasi Ayam Hainam yang best depan Restoran Deen tu, Roti Canai Jai, Popia Zaiton yang beratur orang nak beli, cendol dan rojak mamak… Namun, zaman beredar dan banyak perkembangan berlaku. Hakikatnya perkara yang paling konsisten dalam kehidupan adalah PERUBAHAN!

Pembangunan juga tidak salah, yang perlu ditekankan adalah pembangunan lestari. Yang menjaga kelangsungan kehidupan. Jangan sampai masyarakat kita senget, hanya kerana kepentingan material, berlaku kesenjangan yang besar antara yang kaya dan miskin. Apakah alternatif yang kita berikan kepada peniaga kecil? Apakah sikap kita terhadap perubahan – sedia berubah atau terhapus dari peta dengan arus perubahan.

Yang positif kita terima. Yang negatif kita kritik dan desak sehingga ada solusi yang harmoni.

Pokoknya, ini bukan kerja mudah. Pembuat polisi yang bersih (bebas dari rasuah) mengikut undang-undang, harus membuat keputusan yang adil dan menjaga keseimbangan semua perkara. Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserakan!

Saya yakin, jika kita sayangkan tempat tinggal kita, kita pasti bijak memilih pembuat polisi yang adil, bertanggungjawab dan menjaga kepentingan semua pihak. Nah! Fikirkan dalam-dalam, ini bukan hanya tentang Melawati Mall. Ini tentang di bumi mana kita bermukim.

#masauntukubah

 

2 thoughts on “Melawati Mall: Keterujaan terbaru

  1. Assalamualaikum.

    Sesuatu pembangunan itu sudah tentu ada baik dan buruk mengikut kaca mata yang ingin kita lihat. Setelah membaca coretan kak anfaal saya kira, mungkin beberapa identiti yang menjadi tarikan dan budaya kawasan ini boleh disenaraikan dan dipelihara untuk generasi akan datang. Kita sering melihat identiti atau budaya yang berkait dengan tempat-tempat brsejarah, tetapi terlepas pandang pada aspek-aspek kecil yang mewujudkan memori, nostalgia dan sosio-budaya pada skala kecil seperti kawasan Taman Permata – Taman Melawati. Inilah masanya untuk menyatupadukan penduduk kawasan ini untuk melahirkan rasa cinta akan kawasan yang didiami. Memelihara tidak semestinya menolaj total pembangunan semasa, tetapi cabaran buat kita semua untuk memanfaatkannya. Saya melihat medan selera, dataran, kawasan hijau, taman warisan harus dipakejkan dan dipromosikan agar usahawan kecil dan sederhana boleh meraih manfaat orang luar yang datang bukan sekadar orang tempatan.

    Wallahu’alam.

    Like

    • Jazakallah atas komen dan input. Memang merancang untuk menulis tentang potensi menjana pendapatan melalui nilai budaya dan warisan tempatan. Bukit Tabur contohnya memang menjadi tarikan hikers. Kita perlu belajar dari negara2 seperti New Zealand yang melabur tinggi dalam pemuliharaan tempat pelancongan dan mengangkatnya ke taraf antarabangsa. Taman Melawati tidak terkecuali apabila dikembangluaskan ke Kemensah dan Zoo Negara. Nantikan tulisan seterusnya ya.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s