Bila David Cari Penceramah Agama Wanita Popular, Ini Yang Dia Jumpa…

Sahabat saya Farwina menghantar link program perkongsian Dr David Kloos ke salah satu whatsapp group kami. Melihat tajuknya yang menarik sangat mengujakan saya untuk RSVP kehadiran melalui pautan Eventbrite. “Female Religion Authority and the Public Sphere”, sebuah sesi pembentangan dalam kelompok kecil di University of Notthingham, Kuala Lumpur.

Program dijadualkan bermula jam 2 petang. Ketika saya memasuki bilik tersebut, saya sangka saya tersilap bilik kerana peserta yang hadir sekitar 8 orang, kebanyakannya bangsa Cina dan orang putih. Hanya saya seorang sahaja yang berhijab pada awalnya. Saya keluar kembali dari bilik tersebut dan meminta kepastian daripada petugas di kaunter reception. “Yes, that room. Just turn right and the room on the left.”

Penulis buku “Becoming Better Muslims”

Ironi tapi begitulah faktanya, seorang bukan Muslim, Dr David Kloos menulis buku bertajuk “Becoming Better Muslims: Religious Authority and Ethical Improvement in Aceh, Indonesia”. OK ini memang semakin menarik. Penceramah bukan Islam, kehadiran ramai bukan Islam, TETAPI topik tentang Islam. (Sedang di sebuah negeri ada orang Islam tidak membenarkan pemimpin bukan Islam mengadakan majlis buka puasa untuk orang Islam. “Masuk Islam dulu lah baru boleh buka puasa sama-sama!” Ouch!)

Dr David berhasrat untuk memahami proses perubahan keagamaan dalam masyarakat di Malaysia, khususnya di kalangan wanita. Ini kerana berdasarkan pemerhatian beliau, namakan apa sahaja majlis pengisian ilmu di masjid atau seminar, peserta mendominasi adalah dari kalangan wanita. Ini menggambarkan, ekspresi kehidupan Islam dalam ruang umum dalam tempoh 20 ke 30 tahun kebelakangan ini menampakkan peningkatan keterlibatan dan peranan penceramah wanita. Penceramah wanita diterima berdasarkan:

  • Bagaimana mereka mengatakan sesuatu
  • Perilaku mereka di khalayak
  • Ketrampilan (pakaian dll.)
WhatsApp Image 2017-06-01 at 5.05.15 PM.jpeg
Di sebelah saya adalah Linda, pensyarah University of Notthingham Kuala Lumpur dalam bidang Hubungan Antarabangsa

Dalam membincangkan penceramah wanita berautoriti dalam bidang agama, Dr David telah mengkaji kes studi, menemuramah para tokoh, penerbit rancangan media, institusi agama dan pelbagai sumber bertulis dan bahan audio visual sebagai rujukan.

Premis kajian beliau adalah untuk menjawab dua persoalan penting:

PERTAMA: Sejauh mana wanita boleh menuntut autoriti dalam berbicara hal agama?
KEDUA: Sejauh mana wanita boleh mencabar norma dalam masyarakat?

Beliau mendapati penceramah wanita popular dalam autoriti agama terbahagi kepada beberapa kategori:

  1. Preachers (Penceramah)
  2. Experts (Pakar dalam Bidang)
  3. Politicians (Ahli politik)

    Dr David memilih dua parti ini kerana mengaitkan dasar parti politik ini dengan Islam

Elemen-elemen Berulang

Berdasarkan pemilihan tokoh-tokoh penceramah wanita (khusus dalam hal keagamaan) dari beberapa kategori di atas, Dr David merumuskan terdapat beberapa elemen yang berulang pada tokoh-tokoh ini:

  1. Berpendidikan tinggi, baik dari aliran sekular, agama atau kedua-duanya
  2. Hasil kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
  3. Wanita berkerjaya
  4. Memperolehi sokongan lelaki (bapa sebagai pendorong berpendidikan tinggi dan suami sebagai penyokong)
  5. Terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum semasa belajar seperti kelab debat, seni menyanyi dan berlakon
  6. Dibentuk pemikiran melalui kumpulan keagamaan seperti kelompok usrah
  7. Sangat berdikari
  8. Produk gerakan dakwah atau kebangkitan Islam seperti ABIM, JIM/IKRAM dll.

Usaha mengarusperdanakan idea golongan profesional tampil memberi kefahaman agama ini juga membawa kepada trend baru iaitu Selebriti Berhijrah (para artis yang memilih untuk berhijab dan mendalami Islam). Contoh yang dipilih beliau adalah Wardina Safiyyah. Kelompok selebriti berhijrah ini juga memberi pengaruh dalam masyarakat kerana pandangan mereka tentang agama turut diterima oleh umum.

Proses ISLAMISASI

Dr David menyangkal proses Islamisasi sebagai kerja simplistik kerana sebarang usaha dan terma boleh disalahguna atas nama ‘Islamisasi’. Penggunaan terma yang tepat perlu dikaji dalam proses perubahan kehidupan masyarakat beragama di Malaysia. Beliau merumuskan dua faktor dalam pemilihan penceramah wanita Islam popular di Malaysia sebagai:

PERTAMA – Professionalisation (Profesionalisasi)

Golongan profesional dalam bidang masing-masing seperti doktor, peguam, pakar kewangan dan lain-lain, memilih untuk tampil berbicara tentang hal agama dengan bahasa atau terma profesional mereka. Tidak kurang penting golongan profesional ini tampil dengan gaya visual yang meyakinkan.

KEDUA – Personalisation (Personalisasi)

Penceramah wanita juga boleh menjadi popular apabila berupaya menyentuh isu-isu sebenar masyarakat, memberi solusi praktikal dalam kehidupan seharian, menggunakan bahasa yang mudah difahami – tidak terlalu akademik, dan juga memiliki keperibadian yang mudah didekati (approachable). Dr David menceritakan tinjauan rambang beliau ketika mengunjungi sebuah butik muslimah di Bangi, apabila ditanya siapakah penceramah wanita yang digemari, wanita tersebut menjawab, “Ustazah Norhafizah Musa.” Apabila ditanya mengapa, jawabnya ringkas, “Suaranya.”

Kedengaran lucu, tetapi saya sendiri pernah memandu kereta dan memasang siaran radio Ikim.fm lalu terdengar suara lembut seorang wanita memberi tazkirah Ramadhan. Hati saya tertanya-tanya, aduh siapakah Ustazah ini. Gabungan suaranya dan mesejnya yang menyentuh kalbu cukup menggerakkan dan mengesani jiwa. Ya, suara adalah salah satu elemen dalam proses mikro menyampaikan mesej kepada pendengar.

(Dr David mendekati saya setelah program tamat untuk bertukar pandangan dan callcard. Beliau ingin tahu pendapat saya berkaitan ‘suara’ sebagai pra-syarat penting bagi seseorang untuk memegang gelaran Ustazah.)

Sesi Soal Jawab

Rugi rasanya jika topik penting sebegini hanya dilakukan sehala. Moderator program mengawal masa Dr David dan memohon ruang untuk soal jawab dan diskusi walaupun hanya berbaki 20 minit sahaja sebelum pukul 4 petang. Soalan-soalan mencabar datang dari aktivis wanita Sisters in Islam.

Adakah penceramah wanita ini dirujuk dalam memberi sebarang hukum-hakam? Bagaimanakah sosio-ekonomi masyarakat pendengar penceramah-penceramah wanita ini?
Mungkinkah berbeza dengan audien pendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus, misalnya yang memiliki ribuan peminat?
Bagaimana anda memilih tokoh-tokoh ini sebagai penceramah umum wanita Islam di Malaysia sedangkan terdapat kelompok wanita Islam yang tidak bertudung seperti kami, yang mempunyai rujukan tersendiri (seperti Dr Tariq Ramadhan dll)?
Adakah tokoh-tokoh ini memiliki pemikiran autoritarian dalam ruang autoritatif khusus dalam ruang umum yang dipengaruhi oleh lelaki? (jujurnya saya pun tak faham sangat apa maksud soalan ini..huhu)

Disebabkan masa yang terhad (Dr David dan isteri perlu mengambil anak-anak pulang dari sekolah), jawapan yang diberikan juga adalah secara umum. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan jawapan beliau berkaitan cara pemilihan tokoh-tokoh wanita tersebut. Jawabnya, “I went to mosques and public area meeting random muslim women asking whose ceramah(s) do you love to listen to?…and there goes the list…”

WhatsApp Image 2017-06-01 at 5.05.15 PM (1) Sebelum pulang seorang aktivis SIS, Mas bertemu saya kerana mengenali ibu bapa saya dan menyampaikan salam buat mereka. Saya juga mengambil kesempatan bertukar nombor perhubungan dengan Victoria dari Projek Dialog.

Rumusan saya, sesi-sesi engagement dan bertukar pandangan sebegini adalah sesuatu yang perlu dibudayakan oleh kelompok Islamis. Walaupun kita sebagai Muslim adalah golongan majoriti di Malaysia, itu tidak mewajarkan alasan untuk menidakkan suara-suara pihak lain dalam memberi pandangan berkaitan kehidupan beragama. Apa lagi membisukan mereka hanya kerana ‘bukan Islam’ atau menolak hukum Islam! To listen and to understand but not to force others to accept our notion – is part and parcel in celebrating diversity. Satu tahap lain yang lebih tinggi iaitu ‘pengurusan diversiti’ (managing diversity) terutamanya dalam hal teologi yang memang mencabar, menuntut kemahiran pelbagai; penguasaan bahasa, keupayaan berhujah, ilmu dengan nas syarak dan fakta semasa, seni dalam menyantuni manusia yang berbeza dan juga keberanian!

Saya masih belajar dan akan terus belajar. Apa yang pasti, walaupun saya tidak bersetuju dengan orang lain, akhlaq dan adab menghormati kemuliaan manusia adalah prioriti terpenting. Bukankah Ar-Rasul itu menawan hati para hamba, bangsawan melalui akhlaqnya?

Salam Rahmah untuk Semua,
Anfaal

 

 

4 thoughts on “Bila David Cari Penceramah Agama Wanita Popular, Ini Yang Dia Jumpa…

  1. Mashaallah.. Bestnye kak anfallll… Ad discussion mcm ni lg sila ajak ye. Huhuhu.. Currently, enrolling master in sociology. Haha, sgt berkait.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s